
“ISLAM tidak pernah mengajar umatnya bermusuh atas perbezaan saiz mata, warna kulit mahu pun warna darah sekali pun,” tegas Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi itu berkata demikian susulan kenyataan berbaur hasutan yang dibuat Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengenai insiden perarakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Beliau turut menzahirkan rasa bimbang senario politik terkini pembangkang yang gemar mencetuskan api perkauman bagi mendapatkan sokongan rakyat kononnya terpaling membela Islam.
“Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat ucapan perkauman yang secara halus mengatakan orang Melayu mesti bersatu untuk melawan orang Cina.
“Yang saya pelik, dia nak kata yang mata sempit itu orang Cina, jadi yang mata bulat macam dia (Razman) adalah Melayu. Saya tenung-tenung gambar dia dengan Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen. Saya rasa mata mereka sama sempit dan semua bulat.
“Nak kata kulit dia gelap, tak adalah gelap sangat. Kulit dia lebih kurang sama je dengan rakyat Malaysia yang lain, sama ada Melayu atau Cina.
“Darah dia saya confirm warna merah, sama macam darah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, gelagat Razman itu sangat memalukan kerana sejarah Islam di China lebih lama berbanding Malaysia.
Jelasnya, jumlah orang Islam di China dijangka sekitar 30 juta hingga 50 juta orang bahkan lebih ramai berbanding Bumiputera Islam di negara ini.
“Saya tak terkejut Razman terus buat kenyataan berbahaya seperti ini. Dia ada rekod buka mulut kena saman. Dengan PMX (Anwar Ibrahim) dia minta maaf. Dengan Lim Guan Eng, bayar saman kerana memfitnah.
“Saya terkejut sebab Pas masih kekalkan dia sebagai Pesuruhjaya Pas Perak. Rosak pemikiran anak muda ada wakil rakyat macam ini,” katanya.
Ketika perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan, Sabtu lalu, Razman mendesak supaya semua yang mata, kulit macam dirinya mesti bersatu.
Ia susulan sekumpulan warga China mengibarkan bendera republik itu pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan, tiga hari sebelum itu.
Susulan kejadian itu, polis melancarkan siasatan terhadap perhimpunan itu.
Pihak polis juga dilapor memaklumkan insiden pengibaran bendera China pada festival kebudayaan Guan Gong, dan mendapati penganjur bersalah.
Namun, selepas itu Razman menafikan bahawa dia berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan ucapannya dan mendakwa bahawa media telah menyalah tafsir kata-katanya.





