
PENDANG – Sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam tidak akan dibiarkan seiring dengan ajaran Islam yang turut melarang perbuatan menghina agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memastikan kes menghina agama Islam dibawa ke muka pengadilan.
“JAKIM bersama MCMC dan PDRM akan bekerjasama dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap sebarang penghinaan terhadap agama Islam.
“Mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan atau ketidaktenteraman dalam negara akibat penghinaan agama akan dikenakan tindakan tegas. Perdana Menteri juga menegaskan bahawa dalam konteks penguatkuasaan perlu dibuat tak kira menghina agama mana sekali pun.
“Jadi masyarakat Islam juga diingatkan untuk merenungi ayat al-Quran yang menegaskan larangan menghina agama lain kerana ia boleh mencetuskan tindak balas negatif terhadap Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ziarah Santun Asatizah Du’at Al-Falah dan Berbuka Puasa sempena Lawatan Rasmi ke Kedah di Pondok Sungai Jagong, di sini, malam tadi.
Mohd Na’im berkata dalam usaha membina perpaduan, masyarakat Islam dan bukan Islam diajak untuk bersama-sama mengekalkan keharmonian.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang kekecohan akibat penghinaan agama tidak akan menguntungkan sesiapa kerana ia hanya akan memberi kesan buruk kepada negara.
“Kita bimbang ada segelintir yang cuba nak mengambil peluang menimbulkan kekecohan dan keseteruan di kalangan masyarakat dalam negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata para ulama, guru pondok dan asatizah juga diminta untuk memainkan peranan dalam mendidik masyarakat agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama.
Katanya, masyarakat meletakkan amanah dan harapan tinggi kepada golongan ilmuwan khususnya di kalangan guru guru pondok untuk mendidik masyarakat.
“Guru guru pondok (diharap) dapat memainkan peranan untuk mengajak masyarakat untuk jangan sesekali terlibat dalam sebarang usaha untuk menghina mana mana agama. InshaAllah kita boleh bina keamanan dalam dalam negara kita ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Mohd Na’im turut menyerahkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM365,000 kepada pondok berkenaan, asatizah dan warga emas, asnaf daripada Yayasan Taqwa MAIWP.




