DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan Tentera Darat Malaysia mesti terus kekal sebagai institusi yang berwibawa, profesional dan disegani rakyat.
Perdana Menteri menegaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, ia mesti diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.
“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah, lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, disamping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman bagi membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat.
Pelan strategik Tentera Darat itu bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi cabaran keselamatan moden serta memastikan setiap operasi dijalankan mengikut standard profesional tertinggi.





