
TENOM – Enam anak muda yang terlibat dalam insiden kereta api antara Tenom dan Pangi baru-baru ini menerima sumbangan enam buah motosikal bagi menggantikan motosikal mereka yang remuk dalam kejadian berkenaan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan tersebut disampaikan bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Hari ini kita menyampaikan enam buah motosikal bagi pihak ketua kepada enam anak muda yang terlibat dalam peristiwa kereta api antara Tenom dan Pangi empat hari lalu.
”Bantuan berkenaan diharapkan dapat membantu golongan belia terbabit meneruskan kehidupan harian serta mencari rezeki walaupun tinggal di kawasan yang sukar diakses.
”Ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat di kawasan luar bandar,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyerahan motosikal tersebut kepada para penerima di Tenom.
Dalam pada itu, Jamawi berkata , laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas terutama ketika musim hujan atau tengkujuh sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.
“Setiap kali hujan ataupun musim tengkujuh, laluan ini memang terjejas.
”Dalam tempoh tiga hingga empat bulan tanpa laluan yang baik, mereka terpaksa berjalan kaki dari Kampung Pangi ke Pekan Tenom sehingga enam jam.
“Inilah kesulitan yang mereka hadapi dan perkara ini difahami oleh Ketua Menteri,” kongsinya.
Sehubungan itu, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah supaya mempercepatkan proses pembinaan jalan yang menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.
”Walaupun kawasan berkenaan masih belum mempunyai alternatif pengangkutan yang mencukupi, faktor keselamatan penduduk tetap perlu diberi perhatian.
”Masyarakat pedalaman juga menunjukkan semangat tinggi untuk terus berusaha memajukan diri dan keluarga walaupun berdepan kekangan infrastruktur.
“Mereka masih mempunyai inisiatif untuk memajukan diri serta membantu keluarga masing-masing,” katanya.
Penerima-penerima motosikal tersebut ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani.



