
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Rabu, menyaksikan polis membawa masuk patung (mannequin) sebagai bahan bukti simulasi jatuhan.
Prosiding pada Selasa, saksi kelima, polis dari Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Inspektor Maidon Bernadus memberitahu mahkamah bahawa simulasi itu dijalankan di Asrama Blok Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 3 Ogos lalu.
Menurut beliau, proses pembinaan semula dilakukan sekitar pukul 3 pagi dengan bantuan pencahayaan dari bangunan asrama serta lampu tambahan forensik, dan berakhir kira-kira pukul 6.30 pagi.
Maidon berkata, patung yang digunakan mempunyai ketinggian 180 sentimeter dengan berat keseluruhan 53 kilogram, hasil penambahan pemberat batu bata pada bahagian pinggang ke bawah bagi menyerupai fizikal mangsa.

“Dua jenis simulasi dijalankan iaitu pertama, patung dijatuhkan secara tegak lurus dari aras tiga tanpa tolakan, mendarat sejauh 2.14 meter dari bangunan.
“Manakala simulasi kedua, dengan sedikit tolakan ke hadapan, mendarat lebih jauh iaitu 3.45 meter.
“Hasil kajian mendapati simulasi pertama lebih hampir dengan kedudukan arwah ditemui, sekali gus konsisten dengan maklumat awal siasatan pegawai penyiasat kes,” jelas beliau.
Laporan rasmi kemudian disediakan melalui Sistem Forensik Evidence Management System (FEMS) PDRM dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Prosiding inkues dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Koroner dengan dijangka berterusan sehingga hujung September untuk mendengar keterangan lebih ramai saksi.