
KUALA LUMPUR – Inisiatif tenaga hijau Sarawak bukan hanya menangani isu perubahan iklim tetapi membuka jalan pertumbuhan ekonomi.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata keperluan tindakan bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, masyarakat tempatan untuk menangani perubahan iklim dengan berkesan.
“Terdapat dua jenis penyelesaian iklim iaitu penyelesaian berasaskan alam semula dan penyelesaian berasaskan teknologi seperti Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS),” ujar beliau.
Tambah beliau, Sarawak mempunyai kelebihan semula jadi seperti keluasan tanah diliputi 62 peratus hutan serta kawasan karbon biru di lautan.
“Manfaat ini dapat digunakan melalui perdagangan karbon,” kata beliau ketika berucap pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Negara 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara itu, Dr Hazland berkata inisiatif hijau Sarawak selaras dengan visi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Beliau (Abang Johari) sangat berpandangan jauh dengan memulakan insiatif hijau melalui Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak,” kata beliau lagi.
Tambah beliau, inisiatif hijau Sarawak dibangunkan berdasarkan empat rangka kerja utama iaitu perundangan, teknikal, ekonomi kewangan/perniagaan dan pembangunan bakat.
“Empat rangka tersebut merupakan sebahagian Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030),” jelas beliau.
Ujar beliau, Sarawak dijangka mampu menghasilkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM282 bilion menjelang 2030.