
INISIATIF kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dilihat memberi impak besar kepada rakyat terutama golongan B40, namun pada masa sama golongan M40 dan sebahagian T20 juga wajar terus merasai manfaat belanjawan negara.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha berkata, bantuan langsung yang disalurkan kerajaan nyata memudahkan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang kini dapat menikmati kemudahan pembelian barangan asas secara terus hanya menggunakan kad pengenalan.
“Program bantuan langsung seperti STR sangat memudahkan. Bila turun ke lapangan, rakyat terutama golongan B40 menyatakan mereka seronok dengan kemudahan membeli barang hanya menggunakan kad pengenalan. Ia memberi kesan segera kepada kehidupan mereka.
“Tetapi jangan kita lupa, ada dalam kalangan M40 yang sudah tergelincir ke B40, malah ada T20 yang turut mendapatkan rawatan di hospital awam. Ini menuntut perhatian agar semua lapisan masyarakat terus merasai manfaat belanjawan,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Podcast Minda Tok Abah, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Jufitri berkata, rakyat mengharapkan bantuan yang bersifat terus dan nyata dapat dirasai di depan mata, berbanding hanya kerangka besar dasar pembangunan yang sukar difahami oleh orang biasa.
“Bantuan terus seperti baucar buku untuk mahasiswa contohnya, memberi kesan langsung dan nyata. Itu yang rakyat mahu rasa, sambil dalam masa sama kita perlu mendidik masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, selain bantuan langsung, dasar Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mula menampakkan hasil apabila berjaya menarik pelaburan baharu termasuk 12 kawasan perindustrian di Negeri Sembilan serta pembangunan pelabuhan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Semua ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih bermaruah dan berpendapatan tinggi. Itu sebenarnya yang rakyat mahukan, pendapatan lebih baik dan kehidupan lebih sejahtera,” katanya.








