KUANTAN – Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan memperkenalkan inisiatif ‘Doktor Rakyat’ bagi membantu penduduk mendapat kemudahan pemeriksaan kesihatan di rumah.
Menerusi inisiatif itu, penduduk yang mengalami masalah kesihatan – terutama golongan warga emas – akan dikunjungi pasukan daripada biro berkenaan.
Pengerusi Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan, Dr Boi Saidi Abd Razak berkata, inisiatif itu mendapat sambutan yang baik daripada penduduk dalam kawasan Pekan.
“Melalui program atau inisiatif ‘Doktor Rakyat’ ini, kita bukan sahaja memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara langsung kepada penduduk, pasukan kami juga akan memaklumkan pelbagai inisiatif disediakan kerajaan Pahang, khususnya dalam hal berkaitan kesihatan,” katanya.
![]()
Terdahulu, beliau bersama pasukan ‘Doktor Rakyat’ menyantuni tujuh kediaman penduduk yang menetap di Kampung Padang Jaya, dekat sini.
“Kunjungan semula ke rumah penduduk berkenaan dilakukan selepas kami mendapat laporan lengkap ujian atau saringan kesihatan yang dibuat sebelum ini,” jelasnya.
Seramai 13 orang ahli rombongan termasuk doktor terlibat dalam ziarah tersebut, di mana keputusan saringan diperjelaskan secara terperinci kepada pesakit.
Selain itu, nasihat berkaitan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang turut diberikan kepada penduduk itu.
“Pendekatan mesra yang pasukan Biro Kesihatan ini diharap dapat meningkatkan kepatuhan terhadap pengambilan ubat dan penerimaan terhadap nasihat perubatan,” katanya.
Dr Boi Saidi turut memaklumkan pihaknya kekal komited untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada semua penduduk yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan kesihatan tanpa mengira latar belakang mereka.







