
Koroner Amir Shah Amir Hassan menyuarakan rasa kecewa terhadap gangguan berkenaan yang turut menimbulkan rasa terancam dalam kalangan saksi.
“Banyak gangguan telah mengganggu perjalanan inkues.
“Sekarang, saksi juga rasa terintimidasi.
“Saya nasihatkan pihak peguam, Datuk Ram Singh mengambil langkah sewajarnya, termasuk membuat laporan polis.
“Saya sudah berulang kali mengingatkan supaya prosiding ini tidak diganggu.
“Saya sangat kecewa,” katanya sebelum menangguhkan prosiding di sini.
Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran, prosiding Isnin depan akan dijalankan secara tertutup (in camera) khusus untuk keterangan saksi kanak-kanak.
Katanya, saksi kanak-kanak akan ditempatkan di sebuah bilik khas bersama jurubahasa dan seorang pendamping dari ahli keluarga terdekat yang bukan saksi berpotensi untuk prosiding ini.
“Kanak-kanak saksi akan berada di hadapan kamera, manakala pendamping duduk di bahagian belakang.
“Mereka akan dipanggil seorang demi seorang untuk memberi keterangan,” jelasnya.
Koroner turut memutuskan semua pihak berkepentingan, termasuk dua peguam pemerhati dari Sabah Law Society (SLS) termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa kehadiran mereka dibenarkan ketika prosiding secara tertutup itu.
Prosiding ditunda dan akan bersambung pada Isnin depan.



