
KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi 2023 meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada 121.3 mata berbanding 120.4 mata pada tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan rasmi DOSM, peningkatan ini disokong oleh kenaikan dalam subkomposit kesejahteraan ekonomi sebanyak 0.5 peratus dan kesejahteraan sosial sebanyak 0.8 peratus.
Menurut laporan, pemulihan negara daripada krisis pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu terus memberi impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.
Prestasi IKRM tahun 2023 menunjukkan semua indeks komponen mencatatkan nilai lebih tinggi berbanding indeks asas tahun 2000.
Peningkatan Subkomposit Ekonomi dan Sosial Subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 130.7 mata pada 2023 berbanding 130.0 mata pada 2022.
Antara komponen utama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah sektor pengangkutan (2.4%), pendidikan (0.8%), dan komunikasi (0.2%).
Namun begitu, terdapat penurunan kecil dalam komponen persekitaran kerja (-0.6%) serta pendapatan dan pengagihan (-0.1%).
Subkomposit kesejahteraan sosial pula mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada 116.0 mata.
Komponen yang menunjukkan peningkatan tertinggi adalah kebudayaan (6.0%), hiburan dan rekreasi (2.2%), serta keluarga (2.2%).
Bagaimanapun, terdapat penurunan dalam komponen alam sekitar (-3.9%), keselamatan awam (-1.3%), dan perumahan (-0.2%).
Bagi Prestasi Mengikut Negeri, lima negeri mencatatkan peningkatan IKRM pada tahun 2023 berbanding 2022.
Perlis mendahului dengan peningkatan tertinggi sebanyak 1.4%, diikuti Johor (1.0%) dan Pahang (0.5%).
Sebaliknya, Sabah mencatatkan penurunan terbesar sebanyak -2.2%, diikuti Wilayah Persekutuan (-0.8%) dan Pulau Pinang (-0.7%).
Prestasi IKRM ini membuktikan usaha negara dalam memperbaiki kesejahteraan rakyat di semua peringkat, walaupun terdapat cabaran ekonomi dan sosial yang berterusan.
DOSM akan terus memantau dan melaporkan perkembangan ini bagi memastikan matlamat kesejahteraan rakyat dapat dicapai.






