
SANDAKAN – Seekor buaya air masin dianggarkan seberat kira-kira 500 kilogram (kg) dan berukuran 13 kaki panjang berjaya ditangkap dalam satu operasi bersepadu di kawasan pantai Pulau Lubukan, di sini, pada Jumaat.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan dalam hantaran di Facebook memaklumkan, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai penampakan seekor buaya di kawasan berkenaan yang menimbulkan kebimbangan kerana boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.
“Buaya itu berjaya ditangkap oleh penduduk kampung sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
“Buaya air masin tersebut kemudiannya dibawa ke darat menggunakan aset bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bagi tujuan keselamatan awal,” menurut kenyataan APM.

APM Sandakan kemudian digerakkan ke lokasi dan operasi pengendalian susulan berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama bersepadu termasuk Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Dalam operasi berkenaan, reptilia itu berjaya dikawal sepenuhnya tanpa sebarang insiden sebelum diserahkan kepada JHL Sabah untuk tindakan serta pemantauan lanjut.
Sehubungan itu, APM Sandakan merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung dan semua agensi terlibat atas keprihatinan serta kerjasama erat dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.




