KUANTAN – Kerajaan Pahang meneruskan pengagihan bantuan kepada kumpulan nelayan, petani dan penternak menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang).
Melalui IM Pahang kluster nelayan, petani dan penternak, seramai 792 penerima dari daerah Kuantan menerima sumbangan itu, hari ini.
Majlis penyampaian itu dilakukan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail, dekat sini.
Dalam ucapannya, Mohd Shahar berkata, bantuan berkenaan adalah bagi meringankan bebanan golongan terbabit sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini.
“Saban tahun kita di Pantai Timur memang tidak boleh elak, mesti berdepan MTL dan setiap kali monsun juga, kumpulan petani, nelayan dan juga penternak adalah paling terkesan.
“Menyedari keadaan sebegini, maka kerajaan Pahang dipimpin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memperkenalkan IM Pahang dan ia menunjukkan kerajaan negeri sangat prihatin dengan cabaran dihadapi anda semua.
“Hari ini, sumbangan IM Pahang disampaikan di daerah Kuantan dan ia akan diteruskan ke daerah lain… semua nelayan, petani dan penternak yang layak akan menerima IM Pahang,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif dan penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria.
Pecahan penerima IM Pahang bagi daerah Kuantan yang menerima sumbangan itu adalah 136 yang menyertai sektor pertanian, 195 veterinar, 103 nelayan darat, 44 akuakultur dan 314 nelayan laut.
Kerajaan Pahang memperuntukkan RM158,400 bagi tujuan pengagihan sumbangan IM Pahang kluster nelayan, petani dan penternak di daerah Kuantan.





