
KLUANG – Seorang ibu muda yang masih dalam tempoh berpantang selepas baru 30 hari melahirkan anak sulung tetap hadir mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini, pagi ini.
Kehadiran Nur Syafiqah Azani, 19, sambil mendukung bayinya mencuri tumpuan orang ramai termasuk calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, hari ini.
Dia yang tiba kira-kira jam 8.40 pagi tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan.
“Saya sebenarnya berasal dari Sarawak namun telah berpindah ke Taman Murni, di sini pada 2016 selepas emak mendapat kerja di Hospital Kluang. Oleh sebab itu,
didaftarkan secara automatik sebagai pengundi 18 di sini.
“Saya membuat semakan daftar pemilih tahun lalu dan mendapati saya layak mengundi pada PRK DUN Mahkota hari ini,”katanya ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beliau terpaksa pulang semula ke Johor Bahru kerana suaminya akan bekerja pada syif petang.
“Saya tinggal di Tampoi, Johor Bahru, pulang ke sini seawal jam 4 pagi bersama suami saya yang bekerja sebagai pengurus kedai alat perkakas,” katanya.
PRK DUN Mahkota membabitkan seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.






