
KOTA KINABALU – Ibu bapa kepada Graduan Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jessica Ching Ai Lyn, 24, menzahirkan rasa amat bangga apabila anak autistiknya berjaya memperolehi Ijazah Kelas Pertama Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan).
Bapanya, Ching Kok Hin berkata, UMS menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan kemudahan lengkap serta suasana kampus yang mesra pelajar sekali gus memberi motivasi kepada anaknya untuk terus belajar.
“Sudah tentu kami risau tentang bagaimana dia dapat menyesuaikan diri tetapi dengan fasiliti yang baik di UMS, sokongan dari rakan rumah, rakan kelas dan pensyarah, dia berjaya mengatasi cabaran itu.
“Jessica adalah seorang individu berdikari tetapi tetap menerima sokongan dari keluarga serta bimbingan rapat daripada mentor akademi sebagai individu penting yang banyak membantu Jessica menghadapi pelbagai cabaran dan sering menjaga keadaannya.
“Sebagai ibu bapa mahu melihat dia terus berjaya. Jika dia ingin meneruskan di peringkat Sarjana, kami sentiasa di belakangnya,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen UMS kali ke-26 tahun 2024 ketika ditemui di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, kongsi Jessica, antara perjalanan akademik yang memberi cabaran kepadanya adalah semasa sesi pembentangan tugasan.
Bagaimanapun, dia tetap mengakui bahawa UMS merupakan platform penting yang telah mengasah kebolehannya.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, katanya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dengan mempertimbangkan lokasi lebih dekat dengan rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.




