
PERIBAHASA Melayu ada menyebut, “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Ungkapan ini tepat dalam menggambarkan hubungan rapat antara sikap ibu bapa dan perilaku anak-anak di sekolah.
Dalam era pendidikan moden, peranan ibu bapa tidak hanya terhenti pada menyediakan keperluan asas, tetapi turut mencorak sahsiah, disiplin, dan pencapaian anak-anak di bilik darjah.
Seorang ibu yang dikenai sebagai Cempaka Abdul Rahim, 44, berkata, seorang murid yang beradab, rajin, dan menghormati guru sering kali datang daripada latar belakang keluarga yang menekankan nilai-nilai murni selain sikap ibu bapa yang sentiasa positif.

“Ibu bapa yang menghargai pendidikan, mematuhi peraturan sekolah, dan menjalin komunikasi baik dengan guru secara tidak langsung memberi contoh kepada anak untuk meniru dan mengamalkannya.
“Sebaliknya, ibu bapa yang sering mempersoalkan guru tanpa asas, memanjakan anak secara berlebihan atau mengabaikan perkembangan akademik dan sahsiah mereka, mendedahkan anak kepada krisis disiplin dan ketidakmatangan di sekolah. Anak-anak belajar melalui pemerhatian.
“Justeru, cara ibu bapa menyelesaikan konflik, menunjukkan hormat, dan menegur secara berhemah adalah antara pelajaran paling awal dan paling berkesan dalam pembentukan peribadi mereka,” katanya yang bekerja sebagai pengurus hotel di Ipoh, Perak.
Nada yang sama diungkapkan oleh Ariff Firdaus Anasipuddin, 40, yang berkata, proses pembentukan sahsiah pelajar akan pincang sekiranya ibu bapa lepas tangan dan memandang ringan mengenainya.

“Anak-anak membesar dengan meniru bukan sekadar mendengar. Sikap berhemah, tutur kata yang baik, serta rasa hormat terhadap orang lain yang ditunjukkan ibu bapa akan membentuk keperibadian anak di sekolah.
“Hubungan anak dengan pihak sekolah juga banyak dipengaruhi oleh cara ibu bapa menunjukkan hormat kepada guru dan peraturan. Jika ibu bapa bersikap positif tidak mendesak mencampuri sistem sekolah anak-anak mudah dilentur sekali gus mematuhi dan menghargai autoriti.
“Kita tidak mahu anak-anak dididik menjadi tuan tetapi jadilah seorang bakal pemimpin masa depan yang berakhlak,” katanya yang juga seorang pesara tentera.
Sementara itu bagi seorang guru yang dikenali sebagai Marwan Yaacob@Salleh, 45, berkata, pendidikan bukan di bawah tanggungjawab sekolah sepenuhnya, sebaliknya ia merupakan satu proses holistik yang menuntut penglibatan semua pihak.

“Peranan ibu bapa, masyarakat, dan institusi pendidikan bertanggungjawab dalam memastikan kemenjadian murid yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah. Nilai-nilai murni tidak akan berkesan jika hanya diterapkan di sekolah tanpa sokongan dan pengukuhan di rumah atau dalam komuniti.
“Hakikatnya, pelajar menghabiskan lebih banyak masa di luar bilik darjah berbanding di dalamnya. Oleh itu, pengaruh ibu bapa dan persekitaran amat besar dalam membentuk sikap dan disiplin anak-anak.
Rumah adalah madrasah pertama, manakala ibu bapa ialah guru utama yang menjadi contoh dalam tingkah laku, pertuturan dan cara menyelesaikan konflik. Anak-anak meniru apa yang mereka lihat, bukan hanya apa yang mereka dengar,” katanya mengajar di salah sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Perak.
Suri rumah yang dikenali sebagai Sharifah Farida Tun Nur, 35, berkata, rumah adalah madrasah utama sebelum peranan sekolah mengambil alih. Ibu bapa mesti menjadi qudwah hasanah teladan yang baik, bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga perlakuan harian.

“Jika kita mahu anak yang beradab dan berjaya, maka pendidikan itu perlu bermula dari rumah.
:Guru boleh membimbing, tetapi benih nilai mesti ditanam oleh ibu bapa. Anak-anak adalah cerminan ibu bapanya, jika akar itu baik, insya-Allah buahnya juga manis,” katanya.







