KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden yang didapati bersalah menerima rasuah, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan Hasbullah Ali Alias, 48, dan mengekalkan hukuman penjara setahun dan denda RM25,000, yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuantan pada 2023.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Asraf Mohamed Tahir manakala Hasbullah diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
Terdahulu, Ahmad Nur Faid memohon kepada mahkamah menangguhkan hukuman, sementara menunggu permohonan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan.
Muhamad Asraf memohon jaminan lebih tinggi bagi menjamin kehadiran Hasbullah sepanjang proses rayuan berlangsung.
Mohd Radzi membenarkan permohonan penangguhan hukuman dan menetapkan jaminan RM15,000 dan tertuduh perlu melapor diri pada setiap Isnin minggu pertama setiap bulan.
Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga rayuan selesai.
Tertuduh – yang kini digantung tugas – perlu memohon rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.
Jika gagal berbuat demikian, jaminan RM15,000 akan dibatalkan dan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara.




