
MALAYSIA harus memanfaatkan peluang yang semakin terbuka dalam perdagangan dan kerjasama strategik bersama Rusia, terutamanya jika ketegangan geopolitik antara Moscow dan Washington mula reda, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Mohamad, Rusia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber serta berpotensi tinggi dalam bidang teknologi, pertanian dan pelbagai sektor lain dan hubungan dua hala ini perlu diperkukuhkan lagi.
“Hubungan baik Malaysia dan Rusia sudah lama tetapi ia tidak begitu cemerlang kerana ada kekangan disebabkan Rusia dikenakan sekatan secara unilateral oleh Amerika Syarikat.
“Sebenarnya banyak peluang di negara ini dan kita perlu bersedia untuk meneroka peluang yang ada kerana jika hubungan AS dan Rusia pulih, kita kena dapatkan peluang ini.
“Washington kini mempunyai pandangan yang berlainan berbanding (pentadbiran) dahulu, saya yakin bahawa jika pulih, kita akan dapat banyak faedah,” beliau berkata semasa berucap dalam majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Rusia pada Selasa.
Majlis makan malam itu diadakan sempena lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia, yang bermula hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.





