Hubungan dagang, keselamatan negara terjamin walau tegas sokong Palestin

PUTRAJAYA – Pendirian negara menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyelesaian dua negara Palestin-Israel tidak menghalang Malaysia memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang utama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu tidak memberikan indikasi yang ia menimbulkan ancaman secara langsung terhadap keselamatan dalam negeri, setakat ini.

Mengakui sebahagian rakan dagang memiliki pandangan berbeza, beliau bagaimanapun menegaskan Malaysia komited mengekalkan kerjasama ekonomi dan pelaburan demi kepentingan bersama, kestabilan serantau dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kementerian bersama agensi keselamatan negara juga sentiasa memantau dan berwaspada terhadap kemungkinan risiko dari luar seperti serangan siber, propaganda atau cubaan pihak tertentu menjejaskan kestabilan negara.

“Bagi tujuan ini, langkah pencegahan termasuk pengukuhan keselamatan siber serta kerjasama pertahanan dan keselamatan antara Malaysia dengan negara sahabat terus dipertingkatkan bagi memastikan kestabilan dan keselamatan negara terpelihara.

“Berdasarkan maklumat dan statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula, tiada rekod rasmi menunjukkan pengenaan tarif tambahan, sekatan perdagangan atau langkah ekonomi khusus terhadap Malaysia ekoran daripada pendirian ini.

“Malah, data eksport dan import menunjukkan perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama yang memiliki hubungan rapat dengan Israel seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah kekal stabil sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.

“Trend positif ini berterusan walaupun Malaysia semakin lantang bersuara dalam isu Palestin, terutama selepas tercetusnya konflik di Gaza pada 2021 dan 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohamad (BN-Simpang Renggam) mengenai kesan terhadap keselamatan dan ekonomi negara susulan pendirian kerajaan menyokong resolusi PBB bagi pembentukan dua negara Palestin-Israel, lapor Berita Harian.

Mohamad menegaskan, pendirian Malaysia dalam isu Palestin turut meningkatkan kredibiliti negara di peringkat antarabangsa, selain ia berpotensi membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang perdagangan tenaga, pelaburan halal, makanan dan teknologi, sekali gus mengukuhkan kepentingan strategik dan ekonomi Malaysia.

Katanya, Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keamanan sejagat dan secara konsisten menegaskan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan sokongan dizahirkan melalui kenyataan rasmi di PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, NAM, G20, BRICS dan forum antarabangsa lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ini berdasarkan prinsip kemanusiaan, keadilan sejagat serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Malaysia dan Palestin baru-baru ini, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Perdagangan dan Kerjasama Ekonomi bagi memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara yang menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang antara Malaysia-Palestin.

“Ini termasuk dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi, menyumbang kepada aspirasi pembangunan dengan semangat solidariti dan kemakmuran.

“Kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan semasa dan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kelangsungan ekonomi, keselamatan negara serta hubungan perdagangan sihat dengan negara berkepentingan,” katanya.

Related Posts

Malaysia anjur DSA dan NATSEC 2026, himpun 1,456 syarikat global

KUALA LUMPUR – Lebih 1,456 syarikat dari 63 buah negara menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 bermula esok hingga Khamis ini. Menteri Pertahanan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Iran tarik diri pameran DSA 2026

KUALA LUMPUR – Iran menyatakan hasrat menarik diri pada saat akhir daripada menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16