IPOH – Situasi banjir di Perak terus memburuk apabila seramai 1,776 mangsa daripada 609 keluarga dipindahkan ke 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 pagi, Jumaat.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, dua daerah yang terjejas ialah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.
Jelasnya, sebanyak 20 PPS dibuka di daerah LMS menempatkan 1,413 mangsa daripada 502 keluarga, manakala tiga PPS di Manjung pula menempatkan 363 mangsa daripada 107 keluarga.
JPBN memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan dua stesen sungai di Perak telah melepasi paras normal.

“Stesen Empangan Ulu Kinta kini berada pada tahap waspada dengan bacaan 247.83 meter, manakala Stesen Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang menunjukkan bacaan aras amaran 22.49 meter,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan ribut petir di beberapa daerah termasuk LMS, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
MetMalaysia turut meramal hujan dan ribut di beberapa daerah lain di Perak pada waktu pagi dan petang, kecuali Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Namun begitu, ketiga-tiga daerah berkenaan dijangka mengalami cuaca buruk pada sebelah petang dan malam.





