
KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan menganjurkan Himpunan Pembebasan Palestin berlangsung secara aman dan harmoni dengan kerjasama daripada pihak penganjur.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Datin Anne Ngasri berkata, inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan itu juga wajar dipuji kerana mematuhi peraturan dan tiada sebarang provokasi terjadi.
“Saya memang ikuti kerajaan hari ini. Ini adalah usaha yang sangat baik. Ada orang yang suka dan tidak suka. Pada saya apa yang diusahakan baik, baiklah jadinya dan saya rasa di mana-mana negara juga begini.
“Cuma kita masih ada etika, bagus kerajaan anjurkan himpunan secara teratur dan tidak membahayakan keadaan walaupun ianya satu perhimpunan.
“Jadi bila dikumpulkan begini dengan ada kawalan serta suasana yang sangat terkawal ini membuatkan kita semua sambil berhimpun menunjukkan perasaan kita tetapi kita dalam keadaan yang tenang,” katanya ketika ditemui di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Himpunan solidariti itu adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.
Kira-kira 15,000 orang hadir di stadium itu bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.