
PENGANJURAN himpunan ‘Rakyat Tolak Anwar’ di Putrajaya tidak akan menjejaskan perjalanan kempen jentera Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, himpunan itu sebaliknya membuktikan Kerajaan Madani menghormati hak rakyat negara ini untuk berhimpun secara aman serta menegur dan mengkritik pemerintah.
“Kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan Malaysia di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendekatan Madani membuka (peluang) atau menghormati hak setiap rakyat, walaupun beliau dimaki hamun,” katanya.
Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Bakap, pada Sabtu malam.
Semalam, kira-kira 250 peserta berbaju hitam berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut subsidi diesel dikembalikan serta tidak menaikkan harga petrol RON95 dan gas.