
KUALA LUMPUR – Sudah lebih 67 tahun kita merdeka, bebas hidup dalam negara demokrasi, bebas ke mana sahaja, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing, namun adakah ia bermakna kita juga bebas melakukan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan yang sudah enam dekad dipupuk?
Belum cukupkah pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969, insiden rusuhan kaum yang sepatutnya sudah banyak mengajar kita erti perpaduan dan seharusnya menjadi iktibar bagi mengelakkan negara kacau-bilau dan musnah akibat sengketa sesama kita, rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, tragedi itu hanyalah picisan ‘sampah’ daripada Perikatan Nasional (PN) kerana masih lagi mencipta pelbagai naratif Islam dan Melayu ditindas, sedangkan apa sahaja topik boleh dibincangkan, ada beribu, malah berjuta isu lain yang untuk diketengahkan.
Ramai yang mengeluh, apa akan jadi kepada negara apabila ada kelompok dianggap senior yang cukup matang sendiri pun masih degil, tidak menghormati kesucian agama dan keharmonian pelbagai kaum dalam negara.
Sikap pembangkang ketika ini yang kononnya juara kepada suara orang Melayu dan Islam hanyalah bersikap berat sebelah terhadap wakil rakyat Kerajaan Madani, namun menutup mata apabila terdapat pemimpin mereka dan keluarga yang mengamalkan perbuatan yang jauh tersasar dari ajaran agama Islam.
Apa yang menyedihkan, ada individu bergelar pemimpin yang pantas ‘menuang minyak ke api’, tidak sabar-sabar menyebarkan di laman sosial menuduh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyentuh sensitiviti umat Islam.
Sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuktikan agensi itu menghormati kepelbagaian agama dan budaya kaum lain di Malaysia, selain ia menjadi satu keunikan buat negara yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita.
Malah, Kor Ming juga telah membuat penjelasan bahawa kebanyakan petugas KPKT yang terlibat dalam sambutan di Krismas di bangunan kementerian itu di Putrajaya, baru-baru ini sebagaimana yang ditularkan, adalah mereka yang beragama Kristian, dan berketurunan Kadazan.
Daripada pembangkang sibuk mencipta peluru yang boleh meranapkan keharmonian kaum, lebih baik mereka menegur perbuatan cucu Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara jelas merayakan sambutan Krismas sehingga menerima kecaman daripada masyarakat.
Sehingga kini tiada kepimpinan PN, khususnya Pas mengecam sikap munafik ahli keluarga Ketua Panel Penasihat SG4 itu. Adakah disebabkan Mahathir memberi sokongan kepada parti itu menyebabkan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang menghalalkan perbuatan terbabit?
Begitu juga dengan isu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang dimainkan pembangkang, menimbulkan persoalan mengapa Pas sebelum ini bersikap berdiam diri, sedangkan nukilan pemimpin DAP itu telah diterbitkan sejak tahun 2014.
Sesuatu yang tidak adil kepada Kerajaan Madani apabila Pas tidak pernah ambil kisah apa dilakukan Hannah yang kononnya menyebarkan ajaran Kristian secara senyap sewaktu era kerjasama Pakatan Rakyat (2008-2014) lalu. Apabila tidak sehaluan, maka buku itu dijadikan satu modal mewujudkan persepsi kepada pemimpin Kerajaan Madani.
Sehubungan itu, tindak-tanduk pembangkang ketika ini jelas mereka ketandusan idea dalam memikat hati rakyat sehingga sanggup bermain sentimen kononnya Islam terancam di bawah Kerajaan Madani, semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu.
Naratif itu juga turut diakui oleh Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali pada Himpunan Bangkit Ummah di Kampung Baru, hari ini.
Beliau menegaskan, pihaknya membawa agenda itu bagi memastikan kaum Melayu memberi sokongan kepada pembangkang agar Kerajaan Madani dapat ditumbangkan.
“Betul, kita (mahu) sokongan orang Melayu untuk perjuangkan Islam. Isu ini kita akan pertahankan selagi Hannah dan Kor Ming tidak meletakkan jawatan,” katanya.
Himpunan yang hanya berjaya mengumpulkan kira-kira 150 peserta itu juga menjadi pentas buat Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin melabelkan pemimpin Islam DAP sebagai barua kepada parti berkenaan.
“Kita perlu sampaikan benda ini kepada DAP, khususnya barua DAP. Di mana hilang jati diri mereka sebagai umat Islam,” katanya.
Himpunan anjuran Pemuda Pas, Bersatu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula di Masjid Jamek, Kampung Baru selepas solat Jumaat disusuli perarakan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan polis.