
TAPAH – Orang ramai diingatkan agar tidak menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial, khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihati semua pihak untuk berkempen secara bertanggungjawab dengan mengelak daripada memainkan isu sensitif dan berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya akan terus memantau penggunaan media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk menyebarkan berita palsu, bahan berunsur fitnah serta kandungan berkaitan 3R.
“Kita membuat pemantauan aktif, jika ada pihak memainkan isu 3R dan pihak berkuasa yakin berlaku pelanggaran, jadi tindakan tegas akan diambil.
“Saya berharap mereka yang berhasrat berkempen, elak main isu 3R atau memuat naik (ulang siar) kandungan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Bersama Komuniti (HBK) NADI Ayer Kuning di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Ayer Kuning, pada Ahad.
Turut hadir, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi serta Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Zulkefli Mohd Zin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, individu dikenal pasti berbuat demikian boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara, jika sabit kesalahan.
“Setakat ini belum ada aduan berkaitan isu terbabit, tetapi tidak menolak kemungkinan keadaan itu akan berlaku ketika kempen semakin rancak menjelang minggu depan,” katanya.
Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, menasihatkan Jemaah Menteri mematuhi larangan pengumuman projek kerajaan, sepanjang tempoh pilihan raya.
“Semua pihak perlu patuh, kita memerlukan pertandingan yang adil.
“Bagi saya, yang penting elak perkara seperti ini berlaku dan saya tiada apa-apa pengumuman membabitkan sebarang peruntukan,” katanya.





