TOKYO – Tiga individu masih gagal dikesan selepas sebuah helikopter perkhidmatan perubatan kecemasan terhempas di laut di barat daya Jepun petang semalam, lapor Xinhua.
Menurut penyiar awam NHK, pada kira-kira jam 2.50 petang waktu tempatan, pengawal pantai dimaklumkan bahawa helikopter membawa enam individu itu sedang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Tsushima di Wilayah Nagasaki bagi membawa seorang pesakit ke sebuah hospital di Wilayah Fukuoka, sebelum dilaporkan hilang di luar pantai timur Tsushima.
Pasukan penyelamat kemudiannya menemukan helikopter itu yang terbalik dan terapung di laut kira-kira jam 5.05 petang (waktu tempatan) sebelum menyelamatkan tiga individu.
Kementerian Pengangkutan Jepun memaklumkan bahawa dua daripada tiga individu diselamatkan berada ‘dalam keadaan sedar’.
Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa masih diteruskan.
Enam individu yang berada dalam helikopter itu terdiri daripada seorang juruterbang, mekanik, doktor dan jururawat serta seorang pesakit wanita berusia lingkungan 80-an dan seorang pengiring lelaki berusia lingkungan 60-an.







