KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lebih banyak penambahbaikan dalam struktur ekonomi yang akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025.
Menurut beliau, Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan supaya Malaysia dapat mencapai wawasan kerangka Ekonomi Malaysia Madani.
Apakah pandangan dan harapan rakyat Sarawak terhadap Belanjawan 2025?
The Malaysia Press menemu bual beberapa orang awam berkenaan pandangan dan harapan mereka dalam Belanjawan 2025.

Kalsum Mohammadin, 33, pekerja swasta, menaruh harapan agar Belanjawan 2025 kali ini menurunkan kos sara hidup melalui langkah mengurangkan kos makanan, barangan asas dan perkhidmatan serta insentif menstabilkan harga bahan api dan utiliti.
“Saya juga berharap peningkatan gaji minimum dalam kalangan golongan pekerja yang berpendapatan rendah supaya dapat menampung kos sara hidup semakin meningkat,” ujar Kalsum.
Tambah Kalsum, terdapat harapan lebih banyak peluang pekerjaan serta insentif kepada syarikat dan pelabur.
“Saya juga berharap lebih ramai pelabur dalam sektor perindustrian dan teknologi sekali gus membuka peluang pekerjaan dan berpendapatan tinggi,” kata beliau lagi.

Abdul Majid Azman, 35, pekerja swasta, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kewangan atau subsidi baharu untuk peniaga ayam.
“Kawalan harga yang lebih stabil bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi peniaga, malahan dapat menjaga kebajikan pelanggan,” ujar Majid.
Tambah Majid, kerajaan telah menarik subsidi ayam sehingga harga ayam meningkat pada harga RM11 berbanding RM9 sebelum ini.

Nur Hazirah Shukur, 30, berharap kerajaan dapat memperkasakan ekonomi di luar bandar.
“Ini kerana ekonomi di luar bandar sangat penting dalam usaha membangunkan negara,” kata Hazirah lagi.
Pada masa yang sama, Hazirah juga berharap kerajaan terus menangani isu kenaikan harga barang terutama melibatkan keperluan asas.
“Saya berharap kerajaan dapat membantu isu kenaikan harga supaya tidak membebankan rakyat,” ujar Hazirah lagi.






