
PUTRAJAYA – Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani menggesa negara lain agar menyokong Palestin dan menamatkan kekejaman Israel adalah pemimpin berani yang sifat seperti itu tidak lagi dimiliki oleh mana-mana pemimpin negara-negara Islam.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, keberanian Anwar mempersoal sikap berat sebelah Barat dalam isu itu, dengan membangkitkan peristiwa Nakbah pada 1948 tidak dilakukan oleh mana-mana pemimpin sejak bumi Palestin diserang, setahun lalu.
Menurutnya, keprihatinan Perdana Menteri terhadap ketidakseimbangan kuasa dalam diplomasi antarabangsa, khususnya pengaruh negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) yang sering melindungi Israel, mencerminkan perjuangan Malaysia bagi mewujudkan sistem hubungan antarabangsa lebih adil dan berasaskan prinsip kemanusiaan.
“Pendirian Malaysia di bawah Anwar dalam isu kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap keadilan global. Beliau bukan sahaja menuntut resolusi yang lebih tegas dalam menangani isu Palestin, tetapi juga menyeru agar Israel dikeluarkan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Itu langkah berani yang mencabar ketidakseimbangan kuasa dalam diplomasi antarabangsa dengan menyuarakan ketidakpuasan terhadap ketidakupayaan organisasi dunia dalam menangani penindasan yang berlaku. Anwar menjadikan Malaysia sebagai negara yang tidak gentar menyeru dunia mengambil tindakan konkrit, bukan hanya sekadar berbicara, demi keadilan untuk Palestin.
“Anwar telah memainkan peranan penting dalam menuntut perubahan dalam struktur diplomatik global. Ini membuktikan Perdana Menteri sememangnya ‘anak jantan’ yang tidak takut mendorong masyarakat antarabangsa agar bertindak berdasarkan prinsip kemanusiaan, mengutamakan penyelesaian berkesan untuk rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.

Mengulas lanjut, keprihatinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga terarah kepada ketidakseimbangan kuasa dalam diplomasi antarabangsa selepas negara-negara besar menggunakan kuasa veto menghalang sebarang resolusi yang mengutuk tindakan Israel di PBB.
“Anwar juga tidak hanya mendesak tindakan tegas dari PBB, tetapi turut menyeru negara Islam dan yang prihatin terhadap isu Palestin bersatu dalam menuntut keadilan. Beliau percaya bahawa dengan kerjasama antarabangsa lebih erat, Palestin akan mendapat sokongan lebih kuat dalam perjuangannya untuk kemerdekaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, pendirian Anwar mampu memberi dorongan kepada gerakan antarabangsa untuk mengarahkan perhatian global kepada isu Palestin, yang dilihat kuasa Barat seolah-olah meminggirkannya.
Beliau berkata pendirian Malaysia itu berisiko mengundang tindak balas, namun negara ini hanya memenuhi keperluan moral dan diplomatik untuk mengatasi krisis yang berpanjangan itu.
“Suara lantang Malaysia ialah galakan bermakna kepada pihak lain seperti Asean supaya mengambil pendirian sama terhadap pergolakan di Timur Tengah. Sudah tiba masanya perjuangan pro-Palestin diarusperdanakan semula dalam konteks semasa.
“Kesan kerana memperjuangkan masib Palestin, kebanyakan negara Barat memahami keperluan domestik untuk kerajaan didominasi orang Islam atau pemimpinnya untuk menonjolkan pendirian yang lebih pro-Palestin. Oleh itu, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara berkenaan mungkin tidak terjejas dengan teruk,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menggesa masyarakat antarabangsa mencapai konsensus bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB.
Dalam ucapan ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, kelmarin, Perdana Menteri menegaskan bahawa Israel telah melampaui batas kemanusiaan dengan tindakan kejam dan secara terang-terangan terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Beliau menyatakan bahawa tindakan keganasan rejim Zionis yang berterusan terhadap seluruh bangsa tersebut, memaksa komuniti antarabangsa untuk menuntut tindakan segera dan berkesan, termasuk embargo, penggantungan dan pengusiran dari PBB.




