
JOHOR BAHRU – Kemeriahan pembukaan semula Zoo Johor semalam mencipta sejarah tersendiri apabila dibanjiri hampir 20,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sejak dibuka awal pagi sebelum ditutup petang semalam, taman haiwan berkenaan merekodkan kehadiran seramai 19,461 pengunjung dalam tempoh sehari.
“Pengunjung mula beratur seawal jam 6.30 pagi untuk membeli tiket sehingga kaunter tiket ditutup pada jam 5 petang.
“Sebahagian besar pengunjung datang dari seluruh daerah dan hanya 310 warga asing,” katanya yang berkongsi mengenai kemeriahan itu di laman rasmi Facebook beliau.

Menurut beliau, potongan harga bagi tiket dewasa sebanyak 50 peratus dan tiket percuma bagi kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta warga emas diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga menjadi antara faktor kehadiran pengunjung semalam.
Untuk semalam, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri telah menyediakan enam bas melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan perjalanan bas merekodkan 243 trip membabitkan 14,310 penumpang.
Bagaimanapun, pada masa sama, katanya, kerajaan negeri menyedari masih ada perkara yang perlu ditambah baik dalam pengoperasian taman haiwan berkenaan.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung yang datang ke zoo tertua di Malaysia ini.
“Semoga Zoo Johor akan menjadi satu daya tarikan pelancong dalam merealisasikan agenda Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Sebelum ini, zoo paling tertua di Malaysia iaitu tahun 1962 itu ditutup pada 2020 akibat pandemik Covid-19 sebelum diteruskan dengan kerja-kerja menaik taraf lokasi pelancongan berkenaan.
Sebelum ini, Onn Hafiz mengumuman tawaran potongan harga tiket sebanyak 50 peratus bermula semalam sehingga 30 September ini.
Malah, seperti diuar-uarkan kerajaan negeri bahawa harga tiket bagi Zoo Johor akan kekal termurah berbanding zoo lain masih relevan berikutan bayaran asal hanya dikenakan RM10 untuk dewasa, RM5 bagi kanak-kanak dan RM30 kepada bukan warganegara.







