DUBAI – Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, ketua arkitek serangan 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza, disahkan terbunuh dalam pertempuran.
Timbalan Ketua Hamas dan Ketua Kumpulan Perunding, Khalil Al-Hayya berkata, kematian Sinwar memberi tamparan hebat kepada kumpulan pejuang itu yang menghadapi serangan udara tanpa henti sejak ia menyerang Israel pada 7 Oktober 2023.
Sinwar akan dikenang sebagai pejuang yang kejam dalam kalangan rakyat Palestin yang bekerjasama dengan Israel dan musuh ketat negara itu yang memenjarakannya selama bertahun-tahun.
Sinwar dinamakan Ketua Utama kumpulan itu pada 6 Ogos lalu , sebagai pengganti kepada bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai.
Dikenali secara meluas sebagai arkitek serangan 7 Oktober 2023 iaitu peristiwa paling dahsyat bagi Israel dalam beberapa dekad, Sinwar sekian lama menjadi sasaran Israel untuk membunuhnya sejak permulaan perang.
Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza Khan Younis, Sinwar, 62, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.
Pemimpin kontroversi itu yang menghabiskan separuh umur dewasanya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa ketika hayatnya selepas pembunuhan Haniyeh.







