
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan bantuan tunai RM10,000 kepada keluarga seorang warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan itu diberikan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi berkenaan.
“Bantuan tersebut akan disalurkan kepada waris mangsa dalam kadar segera melalui pihak berkuasa tempatan.
“Ia akan disampaikan secepat mungkin bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa,” kongsinya dalam kenyataan media, di sini pada Rabu.
Sementara itu, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Awang Shahminan Sahari berkata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson telah diarahkan untuk mengesan waris mangsa bagi tujuan penyaluran bantuan berkenaan.
Jelasnya, mangsa dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, yang dilaporkan cuba menghidupkan generator sebuah hotel sebelum tanah dari kawasan berhampiran runtuh lalu menimbusnya.
Tambahnya, kejadian itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, yang memaklumkan operasi menyelamat dijalankan sebaik laporan diterima.
Dalam perkembangan lain, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah memaklumkan setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 1,306 mangsa terjejas akibat banjir di daerah Kota Marudu, Paitan dan Pitas.
Banjir berkenaan melibatkan 40 buah kampung, dengan pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa serta menyelaras bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Hajiji turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada berikutan keadaan cuaca tidak menentu yang berpotensi meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di negeri ini.




