
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk terus bersama-sama memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan.
Dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1446H, Hajiji turut meminta umat Islam di negeri ini untuk terus memperteguhkan lagi keimanan dan ketaqwaan terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan, serta menghayati kisah dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan ananya, Nabi Ismail AS.
“Naratif Aidiladha yang berkait rapat dengan kisah dan sejarah amalan korban, melibatkan dua figura besar dalam Islam iaitu Nabi Ibrahim AS bersama anakanda baginda, Nabi Ismail AS membawa pengertian dan falsafahnya yang tersendiri, mencakupi tiga aspek utama dalam kehidupan umat manusia, iaitu perjuangan, pengorbanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT.
“Justeru, Aidiladha yang jatuh sempena bulan Haji ini, merupakan bulan suci yang di dalam mengandungi segala rahsia yang terkait dengan apa yang disebut sebagai Habluminallah dan Habluminanaas.
“Iaitu hubungan insaniah dengan Tuhan yang Maha Pencipta, dan hubungan kita sesama umat manusia,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berharap agar sambutan ini menjadi pemangkin kepada perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah.
Sehubungan itu, beliau dan keluarga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat tidak kira dimana jua mereka berada.







