
TAPAH – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa umat Islam di Malaysia menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji demi mengutamakan kemenangan politik parti tersebut.
Ahli Parlimen Marang itu mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
“Ibadah haji dan umrah ini wajib muwasah, wajib yang boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh, Islam mesti berkuasa. Inilah orang Amanah tak baca, golongan yang melompat (daripada Pas), (ahli) UMNO tidak baca (sirah Rasulullah). Mudah saja ikut DAP kerana kejahilan.
“Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin. Di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam. Mereka berhak memimpin, bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam
“Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti (diterajui) orang Islam,” katanya ketika berucap pada ceramah mega Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, pada Sabtu.
Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Datuk Ahmad Faizal Azumu; Penolong Setiausaha Agung II Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua Pas Perak, Razman Zakaria.
Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa kononnya UMNO semakin hilang taring apabila berpisah dengan Pas dengan keadaan itu dipamerkan menerusi kemerosotan jumlah undi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi PN itu turut menegaskan UMNO sepatutnya bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Pas, bukannya Pakatan Harapan (PH) demi memperkasa kuasa Islam.
Hadi berkata, partinya tidak menolak bukan Islam, sebaliknya hanya menolak DAP yang didakwanya melampau.
Beliau secara melulu mendakwa DAP membuat kenyataan menentang hukum syariat, menyokong murtad, mencabar Islam dan terkini membuang bulan dalam bendera Malaysia.
Hadi turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang ringan isu itu dan membiarkan simbol Islam dipermainkan.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.



