
KOTA BHARU – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mengulas berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya secara sinis menyerahkan kepada cawangan PAS untuk mengulas perkara itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO membayangkan tidak akan ada kerjasama dengan PAS selagi menjadi presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
“Biar orang lain jawablah, pihak cawangan pun boleh jawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas selesai majlis persidangan antarabangsa Negeri Kelantan Membangun Bersama Islam (MBI), di sini hari ini.
Turut hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Terdahulu, Presiden UMNO menyatakan keputusan itu ekoran pengalaman bekerjasama dengan parti tersebut sebelum ini yang menyaksikan banyak keputusan bersama di antara kedua-dua parti dikhianati PAS.
Sebaliknya, Ahmad Zahid mengakui bahawa rakan-rakan dari parti Pakatan Harapan (PH) ikhlas bekerjasama sama ada di dalam kerajaan mahupun gerak kerja politik.
Katanya, ia dapat dilihat menerusi kerjasama dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Malah, kata beliau, ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak, biarpun Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi PH mahu Menteri Besar dipilih dalam kalangan pemimpin BN.
Tambahnya, situasi sama turut berlaku di Pahang apabila PH turut sedia menerima Menteri Besar daripada BN.







