RAKYAT Malaysia yang berada atau merancang melawat Indonesia dinasihatkan agar berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini berhubung letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.
Wisma Putra dalam kenyataan mengesahkan semua rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas berada dalam keadaan selamat, setakat ini.
Menurut Wisma Putra, pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan maklumat terkini yang diperlukan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Justeru, rakyat Malaysia yang belum mendaftar untuk berbuat demikian menerusi E-Konsular bagi memastikan mereka menerima sokongan dan kemas kini tepat pada masanya.
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di Jl H R Rasuna Said Kav.X/6, No 1-3, Kuningan, Jakarta Selatan 12950, melalui telefon di +62 21 522 4947 / +62 813 8081 3036, atau menerusi e-mel di mwjakarta@kln.gov.my.
Sementara itu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 10 kematian akibat letusan itu.
Letusan itu turut menyebabkan awan abu tebal, mengakibatkan penutupan lapangan terbang di kawasan terjejas.
Sejak 4 November, selepas letusan awal, gunung berapi itu memberi kesan kepada enam kampung di Daerah Wulanggitang dan empat kampung di Daerah Ile Bura, membabitkan anggaran 10,000 orang.
Pihak berkuasa menaikkan tahap amaran bagi Gunung Lewotobi Laki-Laki ke tahap tertinggi, memandangkan gunung berapi itu mengeluarkan abu coklat tebal setinggi dua kilometer setiap hari sepanjang minggu lepas.




