
ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan pengguna media sosial agar bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat berkaitan banjir atau bencana.
Baginda bertitah, setiap gambar atau video yang dimuat naik perlu disertakan dengan tarikh, masa, dan lokasi yang jelas bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran sebenar, selain mengelakkan penyebaran maklumat palsu.
“Pastikan maklumat yang dikongsi adalah tepat dan terkini. Langkah ini dapat mengelakkan kekeliruan yang boleh menyulitkan usaha pihak berkuasa membantu mangsa bencana,” titah baginda selepas berkenan meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Guar Nangka pada malam tadi.
Keberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Ku Chik Ku Isa, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud.
Baginda turut menyeru mangsa banjir agar segera berpindah ke PPS yang telah disediakan demi keselamatan, kebersihan, dan akses kepada bantuan logistik.
“Meskipun berat meninggalkan kediaman, keselamatan nyawa dan kesejahteraan keluarga perlu menjadi keutamaan,” titah Baginda.
Dalam lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa peralatan solat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada pihak pengurusan PPS.
Seramai 73 mangsa daripada 22 keluarga kini berlindung di PPS tersebut yang dibuka sejak 27 November lalu, melibatkan penduduk dari Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kampung Gial, Kampung Bukit dan Kampung Kuala Tunggang.
Terdahulu, baginda turut meninjau kawasan terjejas banjir di Kampung Titi Besi dan Kampung Rambai sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat yang menghadapi musibah.
Lawatan baginda mencerminkan keprihatinan institusi diraja dalam memastikan kesejahteraan rakyat, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan ketika berdepan bencana.






