
TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menegaskan dengan akses internet yang semakin meluas, masyarakat kini berdepan cabaran baharu dalam dunia digital yang memerlukan kepekaan dan tanggungjawab bersama.
“Kita kini mempunyai lebih banyak akses kepada internet, tetapi pada masa sama, kita juga berdepan pelbagai cabaran baharu. Justeru, hasrat kami adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai cabaran ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar semua pengguna Internet termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah supaya menggunakan Internet secara bertanggungjawab dan beretika.
Dalam perkembangan berkaitan, Nie Ching menyarankan agar semua institusi pendidikan, terutamanya sekolah swasta, antarabangsa dan persendirian, mengguna pakai Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Pada November 2023, KPM memperkenalkan garis panduan ini, yang antara lain menyatakan pengetua sekolah perlu menghubungi ibu bapa atau penjaga pelajar serta membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan.
“Walaupun garis panduan ini tidak diwajibkan ke atas sekolah swasta, ia tetap relevan dan wajar dijadikan rujukan dalam menangani kes berkaitan bahan lucah palsu atau penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),” jelas beliau.
Tambahnya, pihak sekolah juga disaran menyediakan garis panduan yang jelas dalam menangani kes seumpama itu dan tidak hanya bergantung kepada tindakan individu semata-mata.

“Kita semua perlu bekerjasama semua pihak sama ada di sekolah, rumah ataupun dalam komuniti demi memastikan anak-anak kita membesar dalam suasana yang selamat, dihormati dan didengari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menekankan pentingnya sokongan kepada mangsa serta memastikan pelaku bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Setiap remaja berhak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan selamat,” tegasnya.





