
KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal menganjurkan satu konvensyen khas pada 19 April depan bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen itu merupakan yang pertama diadakan sejak gabungan berkenaan ditubuhkan pada 2019.
Menurutnya, tumpuan utama konvensyen tersebut adalah meneliti dan membincangkan pencapaian Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Wakil daripada keempat-empat parti komponen GPS akan dijemput menghadiri konvensyen ini, namun jumlah sebenar delegasi masih belum dimuktamadkan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Sabtu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Alexander memberitahu bahawa satu jawatankuasa induk akan ditubuhkan bagi memastikan kelancaran penganjuran konvensyen tersebut.
Jelas beliau, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan.
“Jawatan timbalan pengerusi pula akan disandang oleh presiden parti-parti komponen GPS yang lain iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP),” tambahnya.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





