
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa mengenakan cukai yang terlalu tinggi ke atas golongan kaya boleh menjejaskan pelaburan domestik.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan isu ini dengan teliti.
“Saya setuju dari segi dasar bahawa jika kita mengenakan cukai terlalu tinggi kepada golongan kaya, ia akan mengurangkan pelaburan domestik.
“Tetapi saya ingin menekankan bahawa, berikutan kontroversi yang timbul, saya sedang mendengar dan akan memberi pertimbangan sewajarnya supaya kita tidak mengumumkan sebarang jumlah yang dikenakan atau kenyataan yang membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Hotel One World Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, Presiden ACCCIM yang akan bersara, Tan Sri Low Kian Chuan, menyuarakan kebimbangan bahawa pengenalan semula cukai pusaka boleh menjejaskan daya tarikan keusahawanan dan pelaburan, serta berpotensi menyebabkan aliran keluar aset milik golongan kaya.





