
ALOR SETAR – “Terima kasih PMX,” demikian luahan hati golongan belia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan kadar gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 pada Belanjawan 2025 semalam.
Menurut Fahmi Ismail, 36, dari Bagan Datuk, Perak berkata, pengumuman itu merupakan hadiah kepada mereka yang baharu hendak mencari pekerjaan pada hari ini.
Katanya, adalah sangat rasional kadar awal gaji itu dinaikkan kerana berbanding dengan kos sara hidup hari ini yang kian meningkat.

“Sebelum ini PMX berjaya menarik pelabur ke negara kita dengan nilai berbilion dan ini sudah pasti akan wujudnya pekerjaan untuk orang muda mencari pekerjaan.
“Bagaimanapun adalah tidak seimbang sekiranya banyak peluang pekerjaan tetapi gajinya tidak berbaloi dengan zaman sekarang ini. Ini menunjukkan kebijaksanaan PMX berjaya direalisasikan semata-mata untuk golongan muda,” katanya.
Menurut Fahmi, kenaikan kadar itu secara tidak langsung anak muda hari ini akan lebih mengetahui siapa Perdana Menteri kita hari ini.
“Bagi generasi muda mungkin mereka kurang mengenali PMX kita dengan perjuangannya sejak 1972 lagi bagi membasmi kemiskinan. Pada hari ini beliau sudah membuktikan kewibawaannya,” katanya.
Bagi Mustakim Yaacob, 30, dari Alor Setar pula, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu sungguh mengejutkan terutamanya golongan belia yang sedang mencari pekerjaan.

Katanya, Anwar sangat berani mengumumkan dengan kenaikan kadar gaji dari RM1,500 kepada RM1,700.
“Saya yakin inilah reformasi yang beliau melaungkan selama ini daripada seorang pemimpin kepada masyarakat. Seandainya penyelarasan gaji itu dapat dilaksanakan sudah pasti PMX akan sentiasa berada di hati mereka.
“Inilah pemimpin yang kami mahukan berani melaksanakan reformasi untuk mengubah nasib masyarakat hari ini terutamanya golongan belia pada hari ini,” katanya.
Menurut Mustakim lagi, kenaikan kadar gaji itu adalah sangat bijak sesuai dengan kenaikan kos kehidupan hari ini.
“Sebelum ini bagi belia yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering terdengar keluhan mereka dengan gaji yang mereka dapat. Ini membebankan mereka lagi apabila terpaksa menanggung keluarga masing- masing.
“Bagaimanapun kini golongan belia kini mampu menarik nafas lega dengan kenaikan kadar gaji yang diumumkan oleh PMX semalam,” katanya.



