
PADANG BESAR – Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) membuka peluang kepada golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan menerusi sektor pertanian.
Penolong Pengurus Besar IPR-INTAN NCER, Iskandar Zulkarnain Zainal Abidin berkata, peserta berpeluang menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan selain menikmati perkongsian keuntungan melalui konsep Pertanian Kontrak (Contract Farming).
“Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga memberi latihan kemahiran dalam pertanian moden agar peserta boleh berdikari dan berkembang sebagai usahawan.
“Peserta turut berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia sehingga Tahap 3 menerusi kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran selain menerima latihan pengurusan kewangan,” katanya di Dewan Melati, Beseri dekat sini.
Menurut Iskandar Zulkarnain, program ini bermula sejak September 2023 dengan Fasa 1 dan 2 melibatkan 80 peserta di kawasan ladang seluas 125 ekar, manakala Fasa 3 yang sedang dibangunkan bakal menambah jumlah peserta kepada 745 orang dengan keluasan 865 ekar.
“Peserta diajar teknik pertanian moden serta didedahkan kepada strategi pemasaran bagi memastikan hasil pertanian dapat dijual dengan baik.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengupayakan golongan termiskin agar menjana pendapatan secara mampan dan berterusan,” jelasnya.
Tambahnya, melalui program itu, NCER berharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk import selain memastikan keterjaminan makanan negara.