
KANGAR – UMNO Perlis mengecam keras kenyataan anak Menteri Besar Perlis, Mohd. Syafeeq Mohd. Shukri yang mencadangkan pertukaran pemimpin kerajaan PH dan BN dengan aktivis Sumud Flotilla, sambil menyifatkannya sebagai dangkal, tidak berempati dan memalukan negeri.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, kenyataan sedemikian jelas memperkecilkan perjuangan rakyat Palestin dan mempermainkan nasib aktivis kemanusiaan yang sedang berdepan risiko nyawa di tangan rejim Zionis.
“Ini bukan soal politik murahan. Ini isu kemanusiaan. Jangan sampai kerana kenyataan dangkal, nama baik negeri dan kepimpinan Perlis tercalar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Rozabil menegaskan, tindakan tersebut mencerminkan pemikiran tidak sensitif seorang anak muda yang sepatutnya menzahirkan solidariti bersama masyarakat dunia, bukannya menulis kenyataan yang menjatuhkan maruah rakyat sendiri.
“Anak muda ini perlu faham, bapanya seorang Menteri Besar. Jangan berlagak seperti kerbau membawa lumpur sehingga seluruh keluarga dan institusi politik negeri turut terpalit,” ujarnya lagi.
Mohd. Syafeeq melalui satu hantaran Facebook yang kini tular menulis: “Amaran kepada Kerajaan Haram Israel untuk membebaskan Pejuang GSF yang diculik. Kalau perlu tukar tawanan ambiklah pemimpin Kerajaan PH & BN sebagai ganti.”
Hantaran tersebut menerima kecaman hebat warganet yang menganggapnya sebagai penghinaan kepada mangsa konflik Palestin serta mencerminkan sikap tidak matang dalam mengulas isu antarabangsa.
Sebahagian netizen malah menyifatkan kenyataan itu “memalukan rakyat Perlis” dan “menjadikan isu Palestin bahan mainan politik murahan.”
Rozabil dalam pada itu menyeru anak muda agar lebih bijak menggunakan platform media sosial, terutama dalam isu kemanusiaan yang menuntut keprihatinan, bukannya kenyataan semberono.
“Jika benar mahu ada pertukaran, tukarlah mentaliti sempit kepada politik matang, gantikan kebencian dengan empati, dan jadikan media sosial medan memberi tekanan kepada rejim Israel, bukan bahan lawak politik,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia sama-sama berdoa untuk keselamatan aktivis Sumud Flotilla agar mereka segera dibebaskan dan pulang dengan selamat ke tanah air.







