
KALABAKAN – Generasi muda wajar memanfaatkan media sosial sebagai platform sebaran umum mesej kemerdekaan untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap tanah air.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, perkara ini penting kerana kemerdekaan adalah bentuk tanggungjawab generasi muda untuk terus memajukan negara serta mengingati perjuangan perwira terdahulu.
“Generasi muda memiliki peluang menimba ilmu tanpa diskriminasi kerana pendidikan adalah kunci masa depan yang lebih baik demi kemajuan bangsa.
“Justeru, generasi muda perlu sama-sama mengambil peluang menggunakan media sosial menyebarkan hantaran pesanan kemerdekaan, cerita-cerita inspirasi, hantaran gambar kemerdekaan bagi mempromosi bulan yang bersejarah ini kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah, Kempen Kibar Bendera dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Kalabakan 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Dalam pada itu, Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berharap agar komitmen seluruh masyarakat tanpa lapisan umur menyemarakkan kemerdekaan dapat memperkukuh perpaduan.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor semasa ditemui media, menyeru seluruh rakyat Sabah menyahut seruan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan tanah air.
“Selain Jalur Gemilang, kibarkan bendera Sabah juga kerana 31 Ogos ini kita juga akan menyambut secara serentak Hari Sabah bersama Hari Kemerdekaan.
“Kita harap semangat seperti ini tidak berakhir pada Bulan Kebangsaan sahaja tetapi semangat kenegaraan yang ada, kibaran bendera adalah sepanjang masa dan tidak terhad pada hari-hari tertentu,” katanya.
