KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ahli Parlimen (PN) Pendang, Datuk Awam Hashim melabelkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai penipu berkenaan isu 20 tan sampah yang ditinggalkan peserta himpunan anjuran pembangkang di ibu negara, pada Sabtu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan fakta sampah 20 tan yang ditinggalkan oleh peserta Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu, adalah berdasarkan laporan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan bukan dibuat secara semborono.
Ketika menjawab soalan, Kor Ming memberitahu, kerajaan menjulang prinsip demokrasi dan mengalu-alukan perhimpunan aman namun terdapat keperluan untuk menjaga kebersihan bagi menjaga imej positif Kuala Lumpur di samping dilaksana secara tertib serta teratur.
“Yang dikatakan sampah 20 tan itu bukan dari saya, itu laporan dari SWCorp yang saya terima dari lapangan sehingga ratusan pekerja kita dikerah untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan baju hitam.
“Saya tidak nafikan ada ada sekumpulan anggota Unit Amal bantu bersih sampah, saya ucapkan terima kasih tapi tidak boleh dinafikan juga 20 tan sampah bersepah di Sogo, di Dataran Merdeka dan di Jalan petaling. Itu adalah laporan SW Corp,’’ katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.
Bagaimanapun, mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia itu dilihat cuba menegakkan ‘benang yang basah’ apabila menuduh jumlah sampah yang dikutip SWCorp selepas himpunan berkenaan, yang didakwa tidak sepadan dengan angka 18,000 peserta yang hadir seperti disahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Awang berkata laporan berkenaan tidak benar dan menyifatkan ia sebagai bohong dan turut meminta bukti bahawa sampah yang ditinggalkan peserta himpunan itu adalah sebanyak 20 tan.
“Sila tunjukkan fakta itu 20 tan, tunjuk fakta kalau ada fakta saya tak kata u menipu..kalau tiada fakta itu penipu
“Jawapan bohong, tipu. Menteri 20 tan menipu, DAP,’’ katanya.
Melihatkan keadaan itu, Kor Ming ketika cuba meneruskan penjelasan mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mempersoalkan apa-apa perkara, sekiranya enggan menerima sebarang jawapan yang tidak memihak kepada gabungan berkenaan.
“Tadi tegaskan fakta saya peroleh adalah dari SWCorp, termasuk CEO telah bekerja sampai larut malam, kesianlah kepada pekerja pembersihan kita.
“Kita tak kata Yang Berhormat seorang pengotor tapi kita kutuk dan tegur sikap pengotor. Jika Yang Berhormat nak jadi pengotor, silakan buat sahaja,” katanya.
Awang dilihat masih tidak mahu menerima penjelasan Kor Ming terus bangkit sehingga memaksa Timbalan Speaker, Alice Lau masuk campur menasihatkan Ahli Parlimen Pendang itu duduk.
Semalam, Kor Ming dilapor memaklumkan SWCorp terpaksa bertungkus-lumus membersihkan hampir 20 tan sampah yang ditinggalkan selepas himpunan pembangkang yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu, sambil menegaskan sikap pengotor yang dilakukan pihak berkenaan jelas sangat memalukan.
Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu diadakan di sekitar Dataran Merdeka yang disertai pemimpin utama pembangkang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hasan selain kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad.





