HANYA dengan satu noktah sebagai kapsyen, hantaran gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook rasmi beliau mencuri perhatian warganet hingga menerima lebih 64,000 tanda suka dan lebih 5,000 komen.
Gambar berkenaan memaparkan Perdana Menteri sedang membersihkan cermin mata dalam sebuah kenderaan, dipercayai dirakam selepas selesai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan yang berakhir pada Selasa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa bangga serta mengucapkan tahniah atas kepimpinan beliau menerajui Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, selain memuji kekentalan beliau mengurus jadual padat termasuk menerima lebih daripada 20 pemimpin dunia.
“Kami rakyat yang tidak hadir pun penat, inikan melihat cara PMX mengendalikan tetamu pemimpin negara lain, kami tahu beliau sangat penat. Tiba masanya untuk berehat Datuk Seri. Banyak yang Datuk Seri sudah lakukan dalam mengharumkan nama Malaysia. Kami berbangga ada Perdana Menteri yang berkaliber seperti Datuk Seri,” kata Zahir Mat Nor.
Yip Teng Seng pula berkongsi pandangan penuh penghargaan terhadap ketokohan Perdana Menteri: “Walaupun diserang dari pelbagai sudut, Anwar Ibrahim matang dan tidak melatah, malah terus jalan ke depan demi kepentingan negara. Terima kasih Datuk Seri Anwar. Anda telah mencipta sejarah dan rakyat akan mengenang perjuangan tanpa lelah anda demi Malaysia.”
“Tahun-tahun di penjara telah menjadikan anda lebih peka tentang makna menjadi seorang insan berbanding lebih 90 peratus ahli politik. Anda istimewa, jangan hilangkan keyakinan itu, ia adalah tenaga yang akan mendorong anda lebih kuat demi sebuah Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
“Anda telah bersedia sepenuhnya untuk membawa perubahan ke arah sebuah masyarakat sivil yang lebih baik. Kami berdoa agar anda sentiasa sihat, terus memimpin dan membimbing pengganti demi Malaysia yang lebih baik,” tulis Devanbu M Siluvaiyah.
Sementara itu, hantaran Perdana Menteri turut mendapat perhatian daripada pengguna di Kemboja yang berterima kasih atas peranan Malaysia dalam menengahi perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
“Rakyat Kemboja ingin merakamkan setinggi-tinggi penghormatan dan ucapan terima kasih atas usaha besar Datuk Seri dalam kejayaan menandatangani perjanjian gencatan senjata,” luah Moona Ka.
“Kalau nak tahu anda (Anwar) ketika ini bukan sahaja disayangi rakyat Malaysia, malah kami masyarakat di Kemboja turut menyayangimu. Besar jasa yang telah anda buat untuk negara kami,” kata Kailiin Sok di Facebook.
Terdahulu, Anwar ketika berucap pada
pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Anwar pada Selasa berkata, Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap.
Anwar menjelaskan, kejayaan blok serantau itu bukan sahaja diukur menerusi pemeteraian dokumen sebaliknya disiplin untuk bertindak dengan sabar, membangun mengikut rentaknya sendiri dan kekal tenang dalam ketidaktentuan.
Sejak mengambil alih daripada Laos, Malaysia telah menumpukan kepada usaha memperkukuh perpaduan, keterangkuman dan kemampanan.
Dua pencapaian penting yang menandakan kejayaan sepanjang kepengerusian ini, iaitu kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand.
Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Malaysia pada Selasa juga secara rasmi menyerahkan ‘baton’ Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.








