KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung menggesa kerajaan negeri untuk memperluaskan terminal Lapangan Terbang Sandakan bagi meningkatkan kapasiti menerima lebih ramai pelancong.
Beliau berkata, infrastruktur yang lebih baik akan memberikan pengalaman yang lancar dan selesa kepada pelancong.
“Ianya sekaligus membantu merangsang ekonomi tempatan melalui perbelanjaan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebook rasmi beliau di sini pada Selasa.
Tambah beliau, Sandakan dilihat sebagai antara satu destinasi pelancongan yang mempunyai potensi besar dan berharga.
Katanya, Sandakan perlu terus dimajukan sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi.
“Dengan sasaran tiga juta ketibaan pelancong menjelang akhir tahun ini, kita mesti memastikan bandar-bandar seperti Sandakan, Kudat dan Tawau turut meraih manfaat daripada peningkatan jumlah pelancong ini,” katanya.
Sehubungan itu, Frankie yakin bahawa sektor pelancongan Sabah akan terus berkembang dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat negeri ini, menjadikan Sandakan sebagai destinasi utama yang mampu menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia.
“Potensi sektor pelancongan Sabah masih sangat besar. Dengan pelaburan yang lebih besar dan promosi yang berkesan ditambah baik sambungan udara dan infrastruktur jalan, Sabah mampu menarik lebih ramai pelancong.
“Saya berbangga kerana industri pelancongan kita telah pulih dengan pesat selepas pandemik Covid-19,” ujar beliau.




