
KOTA KINABALU – Menteri Pertanian, Perikanan dan Perindustrian Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar komited memperbanyak program kesejahteraan rakyat melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perindustrian Makanan (MAFFI) bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, beliau bukan orang asing dalam bidang ini kerana pernah berkhidmat di Jabatan Pertanian dan memahami selok-belok cabaran di peringkat akar umbi.
“Perkara pertama yang akan kita lakukan adalah memperbanyak program ekonomi di jabatan-jabatan bawah kementerian, bersama rakyat.
“Ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ) yang dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, dalam mesyuarat kabinet pertama pagi tadi,” katanya selepas sesi ‘clock in’ di pejabat Menteri, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perindustrian Makanan (MAFFI), di sini pada Rabu.
Jelasnya, perancangan ini merangkumi semua kementerian dan akan dibincangkan bersama pengurusan tertinggi.
Jamawi yakin tiada pihak akan tertinggal kerana rakyat dahagakan bantuan, idea, semangat dan tunjuk ajar.
“Sebagai ‘influencer’ pertanian sebelum ini, saya mendidik petani luar bandar melalui video pendidikan, terutama bagi mereka yang tidak berpeluang mengikuti latihan formal,” tambahnya.





