
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memandang serius sebaran fitnah terhadap agensi itu dan akan akan menyaman Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mas Ermieyati menuduhnya menghabiskan dana MARA melalui lawatan mengejut, tebuk hafazan selain tidak membiayai pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Tak habis-habis seorang pembangkang dari Melaka buat pelbagai fitnah kononnya saya habiskan duit MARA sebab ‘terjah’, ‘tebuk hafazan’ dan sudah tidak biayai pelajar TVET.
“Insya-Allah, barisan peguam MARA akan memulakan prosiding saman terhadap beliau. Mula-mula saya malas nak layan tetapi kini sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan.
“Jumpa di mahkamah, YB Mas,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau tiada masalah sekiranya dikritik tetapi bukanlah sehingga melemparkan fitnah dengan niat untuk memburukkan institusi Melayu-Bumiputera itu.
“Tapi kalau sudah sehingga melemparkan fitnah dengan niat untuk memburukkan institusi Melayu-Bumiputera ini, saya tiada pilihan melainkan untuk menyaman fitnah,” katanya.


