KOTA KINABALU – Sebanyak 50 penonton bertuah bakal menerima hadiah wang tunai RM500 menerusi pertandingan slogan yang dianjurkan oleh Jetama Sdn Bhd, bersempena pelancaran filem pendek Kaamatan bertajuk Jetama | Kaamatan 2025: Tahun Depan yang mula ditayangkan di saluran YouTube syarikat itu pada 22 Mei lalu.
Kempen tersebut dianjurkan bagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan 2025, selain memperluaskan mesej dan nilai-nilai kekeluargaan serta pengorbanan yang diketengahkan dalam naskhah berdurasi pendek itu
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, filem berkenaan mengetengahkan tema pengorbanan, semangat kekeluargaan serta nilai janji antara adik dan kakak.
“Ia mengisahkan Esther yang berdepan dilema sama ada untuk membantu mangsa kemalangan atau meneruskan perjalanan menyertai pertandingan Unduk Ngadau, seperti yang dijanjikan kepada kakaknya.
“Kami tampilkan kelainan tahun ini dengan menggandingkan pengarah terkenal Mohd Ghazzali Abu Bakar bersama penulis skrip tempatan, Siti Syazurah Mohd Anwar, bagi menghasilkan naskhah yang menyentuh hati,” katanya dalam kenyataan media, Khamis.

Menurut beliau, penggambaran filem berkenaan hanya mengambil masa dua hari dan diharapkan dapat menambat hati penonton sekali gus mengangkat tema Kaamatan 2025, ‘Kaamatan Untuk Semua’.
Ahmad Naim berkata, orang ramai dijemput menyertai pertandingan mencipta slogan berdasarkan kandungan filem tersebut yang boleh ditonton di YouTube menerusi pautan: https://www.youtube.com/watch?v=Ny4r2T9VvmQ
“Penyertaan juga perlu dikongsi secara umum di akaun media sosial masing-masing bagi memudahkan pemantauan dan penilaian oleh pihak urusetia,” katanya.
Filem yang menjalani penggambaran di Kampung Sangkir, Kota Belud itu menampilkan dua pelakon asal Kota Marudu, Shelviana Josh sebagai Esther dan Julina Yongun sebagai ibu.







