JASIN – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menjadikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini sebagai acara tahunan di bahagian selatan tanah air.
Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed berkata ini kerana penganjuran terbabit akan memberi banyak peluang dan ruang kepada usahawan untuk meningkatkan pendapatan selain dapat mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan mereka.
“Jika di utara terdapat acara Pesta Angin Timur, mungkin di sebelah sini acara Mini KUD @ Festival D’Bendang Melaka boleh dicadang untuk dijadikan acara tahunan kerana gabungan dua acara ini amat menarik apabila festival ini membabitkan suasana kekampungan manakala Mini KUD pula menonjolkan elemen keusahawanan,” katanya.
Beliau ditemui selepas melakukan lawatan tapak sempena Program Mini KUD @ Festival D’Bendang Melaka dengan diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis di Kem Benteng Negara, Kampung Parit Penghulu Benteng, di sini hari ini.
Perasmian Mini KUD @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jam 10 pagi Ahad ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah penyertaan usahawan melebihi 250 orang pada penganjuran kali kedua ini menunjukkan karnival tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan.
Beliau turut menambah, sebanyak lima agensi di bawah KKDW turut menjayakannya antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad dan GIATMARA.
Festival kali kedua ini merupakan kerjasama strategik antara jabatan dan agensi kerajaan dengan sasaran pengunjung seramai 10,000 orang.
“Lebih 150 usahawan luar bandar yang menyertai kali ini termasuk 57 usahawan KKDW dan 104 penjaja kecil tempatan, malah KKDW juga turut menyediakan Warung RBC yang menyediakan pelbagai menu pilihan untuk pengunjung.
Siti Faizah berkata, sepanjang tiga hari berlangsung festival terbabit, terdapat 39 acara termasuk sukan tradisional yang akan dipertandingkan iaitu basikal titi, Ratu D’ Bendang, tarik tali dan sukan rakyat.
“Setakat hari ini kita menerima kira-kira 2,800 penyertaan dan dijangkakan jumlah itu akan bertambah di saat akhir.
“Menariknya, kita turut membabitkan penyertaan wakil rakyat termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan bersama-sama turun ke bendang menyertai acara yang disediakan,” katanya.







