
ALOR SETAR – Seramai 944 penumpang feri di Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing pada pelayaran pertama pagi ini.
Penumpang itu membabitkan beberapa pelancong yang terkandas selepas lapan trip perjalanan feri membabitkan Langkawi dibatalkan susulan ombak besar setinggi kira-kira empat meter, semalam.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, setakat ini penumpang seramai 109 orang yang berlepas dari Kuala Perlis jam 7 pagi tadi dan dari Langkawi ke Kuala Perlis yang membawa seramai 276 penumpang pada jam 7.30 pagi selamat tiba di destinasi.
Beliau berkata, dua trip perjalanan iaitu masing-masing dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah masih dalam pelayaran.
“Feri yang membawa 337 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi berlepas pada jam 7 pagi tadi manakala feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang membawa 222 penumpang berlepas dari terminal pada jam 7.30 pagi tadi.
“Dua feri itu mengambil kira-kira 1 jam 45 minit atau dua jam untuk sampai ke destinasi.
“Setakat pagi ini, keadaan ombak di Kuala Perlis dalam keadaan paras normal manakala di perairan Kuala Kedah pula sedikit beralun tetapi tidak mengakibatkan ombak yang kuat,” katanya lapor Berita Harian.
Baharin berkata, feri turut menggunakan laluan asal bagi mengelakkan ombak yang terbuka.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya belum dapat pastikan jadual perjalanan feri hari ini dari Kuala Kedah dan Langkawi dapat bergerak seperti biasa atau sebaliknya kerana bergantung pada keadaan ombak serta cuaca.