BAN guni pasir diletakkan di pesisiran pantai Selangor sebagai penahan air laut berikutan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diarah untuk melakukan rondaan berkala bagi memastikan ban kukuh dan tidak pecah, sekali gus mengelakkan air laut naik ke darat.
“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Neger telah melakukan mesyuarat koordinasi dan penyelarasan bagi persiapan menghadapi fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut.
“Semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah, agensi serta pasukan keselamatan diarah bersiap siaga. Insya-Allah segala urusan kita dipermudah dan Selangor dilindungi dari sebarang bencana,” katanya di Facebook.
Amirudin turut mengingatkan penduduk yang tinggal berhampiran pantai supaya berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.
Fenomena air pasang dijangka meningkatkan bacaan paras air laut mencecah ketinggian sehingga 5.8 meter pada esok manakala 19 dan 20 Oktober, masing-masing di paras 5.7 dan 5.5 meter.






